KUALA LUMPUR, 20 Mei : Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) akan menghantar seorang wakil menyertai misi pelayaran menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza.

Setiausaha jawatankuasa inisiatif Malaysia untuk pembebasan Palestin-Mapim, Mustapa Mansor, akan berangkat ke Athens, Greece pada jam 2 pagi esok.
Beliau akan bersama dengan 600 aktivis Free Gaza Movement daripada 20 negara termasuk tokoh-tokoh aktivis NGO antarabangsa, ahli parlimen Eropah, selebriti, jurnalis, petugas media, dan pemenang Noble Peace.
Mereka akan berlayar dengan lima buah kapal penumpang dan tiga kargo yang memuatkan 5,000 tong bahan bantuan berupa ubat-ubatan, makanan, bahan binaan dan alat-alat persekolahan kanak-kanak.
Sebelum itu, kesemua aktivis ini akan berkumpul di Heraklion untuk mengadakan latihan persiapan sebelum berlayar di laut Meditterianian menuju ke pantai Gaza dalam misi Freedom Flotilla.
Menurut Setiausaha Agung Mapim, Mohd Azmi Abdul hamid, Mustafa dipilih menyertai misi itu kerana beliau sudah berpengalaman dalam misi bantuan kemanusiaan dan pernah berkerjasama dengan aktivis dari negara lain.
"Mustafa dipilih sebab beliau sudah berpengalaman dalam misi kemanusiaan dan sudah mempunyai 'contact' dengan aktivis-sktivis negara lain selain komitmen yang beliau tunjukkan selama bersama-sama Mapim," katanya pada satu sidang media di Pejabat Harakah, Jalan Pahang, dekat sini, hari ini.
Sebelum ini, Mustafa pernah menyertai misi ke Gaza pada 2009 namun tidak dibenarkan masuk selain menyertai misi ke Padang dan Acheh, Indonesia dan beberapa tempat lain lagi.
Azmi juga meminta seluruh rakyat mendoakan keselamatan Mustafa sepanjang berada di sana kerana pelayaran kapal Freedom Flotilla dijangka akan berdepan dengan angkatan tentera laut Israel yang akan berusaha menyekat mereka daripada memasuki Gaza.
"Saya berharap kita semua mendoakan keselamatan Mustapa yang telah melakukan satu pengorbanan meninggalkan keluarga untuk menyertai misi ini dan kami juga akan mengadakan solat hajat di Ipoh malam ini," katanya.
Beliau juga memberitahu, Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) menerima cadangan mereka untuk membawa usul mengenai keganasan Israel terhadap Palestin pada persidangan Parlimen Jun depan.

Sementara itu, Mustafa yang turut hadir pada sidang media berkenaan menyatakan komitmen untuk memastikan bantuan yang dibawa dapat disampaikan kepada rakyat Gaza.
"Saya memberikan komitmen untuk memastikan bantuan yang dibawa dapat disamapaikan kepada rakyat Gaza walaupun saya sedar banyak cabran yang menanti. InsyaAllah saya akan bertahan sehingga bantuan itu dapat diserahkan," katanya.
Mustafa juga akan mengumpul segala maklumat mengenai keadaan terkini rakyat Gaza dan mengahantar maklumat setiap hari kepada Mapim untuk dihebahkan kepada rakyat Malaysia.
Pada sidang media itu, Azmi turut menyerahkan cek berjumlah RM50,000 hasil kutipan dana dari beberapa NGO dan organisasi politik termasuk Jaringan Muafakat NGO Islam Perak (Jama'iy), Teras Pengupayaan Melayu Malaysia (Teras), Shura Muafakat NGO Islam Kedah (Wedah), Jaringan NGO Islam pahang (Barakah), Paksi Kedah, yayasan Amal Kedah, Bakun, Salimah dan Pemuda PAS Kedah.